twitter
    Or view on the sidebar for updates

Nasi Ayam Linda Onn



Hari ini aku berkesempatan untuk luangkan masa aku dgn merayau-rayau kat Tesco Ampang. Mula-mula tu aku cuma nak berwindow shopping tapi ternampak la pulak satu benda ni. Set sarung tilam. Murah giler dia jual! Ada diskaun 70%, aku apa lagi, sambar ler satu set. Fuih! Tak sabar rasanya nak balik dn tukar set yg baru aku beli tadi.

Ceh! Baru aku nk melangkah kaki ke luar, aku terdengar bunyi dentuman. Arghh! Hujanlah pulak. Dh ler menda yg aku beli ni bagak! Aku kena carik tempat lepak ler gamaknya. Pusing punya pusing, ternampaklah aku satu restoran yg mana dia punya owner adalah si Linda Onn, DJ fofuler kt Malaysia ni.

Dulu aku pernah makan sekali kt restoran ni tapi kat cawangan berdekatan dgn Ampang Point. Di sebabkan aku punya kaki ni macam terkena meknet aku pun masuk ler. Beyond my expectation, restoran ni tak ramai org ... ada laa dua tiga meja (tak termasuk meja aku) aku nampak org tgh makan. Mungkin sbb saingan kot. Kat sini banyak restoran termasuk restoran makanan segera (KFC & Pizza Hut dll).

Duduk jer, dtg ler mamat waiter amik order. Aku order set. Ada Nasi Goreng Ayam + Telur Dadar + Ayam + Sirap. Murah jer, beh kurang spuloh hengget. Aku mintak Sup Fish Ball sebagai side order.

Pastu makanan pun sampai, akupun makan .... Tak abih, sebab nya tak berapa sedap. Tak macam masa aku mula-mula makan dulu. Mungkin sebab suasana. Dulu masa aku makan kat cawangan berhampiran Ampang Point tu, dia punya pelanggan, fuih! Ramai giler. Mungkin itu sebagai faktor pemangkin selera.


--------------------------------------
Zainal Saffar Ahmad
--------------------------------------
Sent from my BlackBerry® wireless

Puteh

Semalam aku dikurniakan dengan seekor kucing warna puteh. Memang dari dulu aku teringin betul nak kucing baka bulu panjang dan akhirnya impian aku dimakbulkan, syukur. Sebab warna kucing tu putih maka aku namakan dia... Puteh. Nanti kalau aku rajin aku akan letak pelbagai gambar dia kat sini.
Zainal Saffar
--------------------------------------
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Eid Mubarak

Bersempena dengan kemunculan hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, aku persembahkan kad raya eksklusif. Kad yang bersadurkan 24 karat emas dengan beratnya melebihi 250 gram.


Dengan ucapan "Eid Mubarak", semoga di bulan yang mulia ini, Allah limpahkan kita dengan segala rahmat dan keberkatan. Semoga Allah terima amalan puasa kita di sepanjang bulan Ramadhan. Semoga Allah panjangkan umur kita agar dapat lagi kita berpuasa pada tahun-tahun berikutnya.

Sakit Macam Digigit Semut

Tentu kita masih ingat lagi perkataan ini, "Sakit macam digigit semut", ianya seringkali diucapkan kepada sesiapa sahaja --- tidak kira umur dan pangkat. Biasanya ia diucapkan sebagai Tangkal Kata atau Ucapan Hikmat atau Mentera Singkat untuk menyedapkan hati. Bagi aku, perkataan ini pertama kali aku dengar sewaktu aku hendak disunatkan, kebanyakan orang pun akan "dimenterakan" dengan perkataan ini ketika berhadapan dengan situasi begitu.

Bila difikir-fikirkan rasa nak tergelak pun ada, ketika itu kita akan menelan dan percaya apa juga diperkatakan oleh orang di sekeliling kita. Tangkal Kata ini seolah-olah diberikan peranan untuk menyamakan kesakitan yang bakal dihadapi tidaklah sesakit mana, macam kena gigit semut yang sakitnya hanya seketika. Namun, apabila tiba saatnya kita berhadapan atau merasai kesakitan itu maka barulah kita sedar bahawa kesakitan tersebut tidak sama langsung dengan sakit digigit semut. Sakitnya bukan kepalang. Sakitnya tidak mampu untuk digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana rasanya kesakitan itu kerana dia yang mencipta perasaan tersebut.

Dua tahun lepas aku ditimpa kemalangan ketika menaiki motor, bergesel dengan kereta. Kaki aku tersepit dihempap motor yang beratnya na’uzubillah. Waktu itu aku pakai motor Jaguh yang aku rasa semua orang tahu dia punya berat. Tak cukup dengan itu, kaki aku dicucuk dengan clutch paddle, koyak kasut yang aku pakai ketika itu ditembusi paddle tersebut. Kesakitan yang aku alami ketika itu kalau nak “digandakan” dengan kesakitan ketika bersunat, aku rasa sepuluh kali ganda.

Aku dibawa ke hospital sejurus kemudian. Di sana aku diberi lagi pengalaman menghayati kesakitan oleh tuhan. Insiden kemalangan dihempap dan dicucuk oleh paddle tadi menyebabkan luka yang terhasil perlu dijahit. Ubat bius ketika itu tidak ubah seperti bisikan dan ucapan Mentera Singkat – “Sakit macam digigit semut”. Jarum yang menembusi kulit dan isi ketika dijahit mengakibat kesakitan yang tidak terperi. Menggeliat aku ketika itu menahannya. Lebih sakit dari disunat, lebih sakit dari dihempap dan lebih sakit dari dicucuk paddle. Entah berapa kali ganda kesakitan, cuak rasanya untuk aku bermatematik.

Pada hari Khamis lepas, aku menyaksikan satu lagi episod kesakitan. Kali ini ianya dialami oleh kakak aku sendiri. Aku menerima SMS dari anak buah aku (anak kepada kakak aku tadi). SMS tersebut ditulis begini:
Chik Enal tolong bagi tau nenek ibu sakit :(
Ringkas, tapi cukup merisaukan aku sebab sebelum ini aku tidak pernah menerima SMS sebegini dari anak buah aku. Untuk mendapatkan kepastian, aku hubungi telefon bimbit kakak aku, panggilan aku dijawab oleh anak buah aku tadi. Sewaktu bersoal jawab dengannya aku dapat dengar dengan jelas suara tangisan sakit dan aku pasti itu adalah suara kakak aku. "Cakap dengan ibu, kejap lagi Chik Enal sampai". Setelah mendapat keizinan dari boss (semoga Allah beri rahmat kepada dia sekeluarga) aku bergegas ke rumah kakak aku yang terletak di Taman Keramat, jarak yang agak jauh dari tempat kerja aku.

Sampai di sana, aku dapati kakak aku duduk tersandar, airmatanya berlinangan menahan kesakitan. Duduk di sebelahnya adalah adik bongsu aku. Kelihatan dia sedang mengusap-usap tangan kakak aku sambil mengucapkan kata-kata berkaitan dengan kesabaran sewaktu menghadapi kesakitan. Kami berdua (adik bongsu aku) sama-sama mempunyai pengalaman berhadapan dengan kesakitan. Dia juga pernah ditimpa kemalangan yang mengakibatkan tulang selangkanya patah dan terpaksa disambung dengan besi. Kami adalah di antara manusia di mukabumi ini yang amat mengerti tentang sakit. Kami tahu dan sangat memahami kesakitan yang ditanggung sesiapa sahaja. Walaupun sakitnya berbeza tetapi pengalaman berhadapan dengan kesakitan itu tetap sama.

Peristiwa-peristiwa ini telah memberi pengajaran kepada aku. Pada aku, ada dua perkara yang sangat diperlukan ketika kita berhadapan dengan kesakitan, kehadiran orang yang kita sayangi dan sentuhan dari mereka. Kehadiran dan sentuhan ini adalah sebenarnya yang benar-benar melegakan kesakitan tatkala segala macam ubat moden ketika itu berada jauh dari kita. Tentu sahaja kita mengharapkan belas kasihan dan limpahan rahmat dari Allah S.W.T --- bukanlah Tangkal Kata atau Ucapan Hikmat atau Mentera Singkat. Wallahu 'Alam.

Britain Lebih Mesra Islam Dari Malaysia?

Apa yang perlu kita fahami berhubung dengan  rusuhan perkauman yang melibatkan pemuda-pemuda beragama Islam di Bradford, Oldham dan Burnley baru-baru ini, kononnya ia sandiwara Barat untuk menutup kelemahan di dalam rumah sendiri. Sebelum ada yang mencanang dan membuat tuduhan melulu, perlulah kita kaji latar belakang kejadian rusuhan itu, iaitu:
1.
Rusuhan-rusuhan itu diapi-apikan oleh sebuah kumpulan fasis berfahaman perkauman iaitu British National Party (Parti Kebangsaan Britain, ironisnya nama parti tersebut bila dikenang sebuah parti terkemuka di tanahair iaitu Parti Kebangsaan Melayu Bersatu)

BNP - parti serpihan gabungan kumpulan perkauman sayap kanan ekstrem yang diberi nama National Front (Barisan Nasional, ironis sungguh apabila dibandingkan dengan gabungan parti bercorak perkauman yang memerintah tanahair!) - telah lama menuntut agar semua orang 'berwarna' (bukan keturunan Eropah) dihalau keluar dari Britain.

Mereka berkempen secara senyap-senyap dari satu bandar ke satu bandar meniupkan semangat bencikan orang Asia.

2.
Tindakan reaksi pemuda-pemuda berbangsa Asia yang melampaui batas menyebabkan kempen perkauman itu meletus menjadi perbalahan kaum. Lebih teruk lagi, kebanyakan mereka sebenarnya berasal dari bandar lain dan datang ke bandar-bandar itu untuk membuat kacau, sedangkan pemimpin masyarakat tempatan mengutuk hebat tindakan melampau mereka.

3.
Pihak polis menjalankan tugas tanpa menunjukkan berat sebelah secara terang-terangan, walaupun hampir 95% anggota pasukan polis berbangsa Eropah. Jika dilihat jumlah yang ditahan, kedua-dua kumpulan pelampau - dari penyokong BNP dan golongan pemuda Asia - terpaksa bersoal jawab dengan polis di bawah tahanan!

Oleh kerana faktor-faktor ini, rusuhan itu tidak merebak ke kawasan yang mempunyai penduduk Asia yang besar seperti Birmingham atau Leicester.

Kita juga perlu menilai dan memahami kenapakah rusuhan-rusuhan yang berlaku secara sporadik ini tidak menjadi ancaman besar kepada keselamatan negara seperti di Malaysia. Di Malaysia contohnya, peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadi titik tolak yang mengubah lanskap Malaysia selama-lamanya, sedangkan tiga rusuhan berbau perkauman di Britain baru-baru ini tidak pula mempunyai kesan yang begitu mendalam kepada aspek ketenteraman awam.

Salah satu perbezaan utama kedua-dua senario ini adalah pendirian kerajaan. Kerajaan Parti Buruh di Britain mengambil tindakan pantas mengecam BNP dan anasir perkauman serta merancang pelbagai polisi yang lain untuk mempastikan peristiwa yang sama tidak berlaku.

Sebaliknya di Malaysia, tiket perkauman adalah nadi kerajaan pemerintah, kerana dasarnya yang berjuang selari dengan kehendak perkauman. Dalam erti kata lain, kerajaan BN seolah-olah kembar tidak seiras dengan BNP yang senantiasa bermain dengan api perkauman. Lihat sahaja ucapan pemimpin-pemimpin mereka:

Perdana Menteri menuduh kumpulan sivil masyarakat Cina atau Suqiu sebagai komunis, Datuk Ibrahim Ali mengumpul ahli UMNO dengan poster keris menghunus ke atas dilumuri darah dan yang terbaru Datuk Seri Lim Keng Yaik pula menuduh PAS sebagai komunis.

Maka tidak hairanlah, jika sesuatu kejadian berbau perkauman berlaku, rakyat gundah gelana dan dunia memandang dengan prihatin - disebabkan pandangan umum bahawa tidak ada jaminan kerajaan pemerintah bangun membanteras prejudis perkauman kerana itu juga merupakan sifat mereka!

Sebaliknya di Britain, pihak berkuasa cepat-cepat mengambil tindakan mengadakan satu 'blitzkrieg' media (atau 'gempur media') untuk menghapuskan salah anggap dan 'stereotype' kumpulan minoriti. Jika anda seorang ahli kumpulan minoriti di negara asing seperti penulis, inisiatif sedemikian rupa boleh juga memberikan keyakinan akan keprihatinan kerajaan.

Sumber : Suara Anum

Reblog this post [with Zemanta]

Tasmeem - Bahagian Akhir

Aku juga terlibat dalam projek penyusunan semula layout buku "Surah Yasin dan Tahlil", buku yang diterbitkan oleh syarikat tempat aku bekerja. Untuk makluman, idea untuk menyusun semula layout buku Yasin berkenaan timbul apabila pihak syarikat membeli perisian Tasmeem. Aku sangat tertarik dengan font Naskh yang disertakan dalam perisian ini.

NASKH

Kalau menurut sejarah, pada awalnya naskah Al-Quran ditulis dengan menggunakan jenis skript Kufi tetapi oleh kerana jenis tulisan ini agak sukar untuk dibaca maka ianya digantikan dengan skript Naskh dalam penulisan surah-surah Al-Quran. Ini adalah kerana jenis kaligrafi ini lebih kemas, seimbang dan mudah untuk dibaca. Ianya diperkembangkan pada abad yang ke 10 lalu diperhaluskan oleh Hamd Allah al-Amasi atau lebih dikenali dengan nama Seyh Hamdullah. Kehebatan variasi Naskh telahpun aku tunjukan dalam Bahagian 2.


EMIRI

Adalah merupakan font kedua yang disertakan dalam perisian Tasmeem. Ianya diilhamkan dari jenis skript yang digunakan dalam cetakan Al-Qur'an dari Cairo pada tahun 1924. Memandangkan jenis font ini adalah dalam kategori ringkas manakala variasinya tidak seperti Naskh maka ianya amat sesuai digunakan dalam penulisan Hadith atau Doa.

PROSES PENYUSUNAN

Dengan Tasmeem, proses penyusunan semula layout buku Surah Yasin tidaklah begitu sukar. Apa yang menjadi penghalang utama dalam proses ini adalah sumber untuk memperolehi Surah Yasin dalam bentuk softcopy. Aku telah menggunakan pelbagai aplikasi yang sedia ada di pasaran termasuklah Mushaf Madina keluaran Hraf. Perisian ini agak canggih tapi sayang, ianya hanya boleh diintegrasikan dengan perisian Microsoft Word, tidak dengan Tasmeem maka keupayaannya untuk menyusun layout mengikut citarasa designer amatlah terhad. Font yang digunakan pula tidak boleh diedit atau dalam erti kata yang lain statik.

Aku perlukan Surah Yasin dalam bentuk softcopy yang boleh dicopy dan dipastekan ke dalam Indesign lalu diubahsuai bentuk fizikal hurufnya menggunakan Tasmeem. Terlalu mahal dan tidak kos efektif pula sekiranya aku mengupah typesetter yang mahir dalam typesetting tulisan Arab. Seperti biasa, aku Google dalam internet dan terjumlah satu laman web yang menyediakan surah-surah Al-Qur'an yang lengkap dalam bentuk softcopy. Laman web yang bernama Quran Explorer ini menawarkan perkhidmatan secara percuma. Perlu bersabar apabila mengunjungi laman web berkenaan sebab ianya mengambil masa yang agak lama untuk memuatkan paparan.

Berikutnya, aku siarkan sebahagian dari hasil proses penyusunan semula layout buku Surah Yasin berserta terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Di bawah ini pula adalah contoh doa Nisfu Syaaban yang terkandung dalam buku Surah Yasin tersebut. Klik Gambar untuk paparan lebih besar.
Klik di sini untuk muat turun dalam format PDF (high resolution file - 1.1 MB)

 
Ayat Seribu Dinar yang ditypeset menggunakan Tasmeem.
Klik di sini  / right click dan save images as untuk muat turun high resolution file dalam format Jpeg (2MB)
Sekian. Wassalam.



Reblog this post [with Zemanta]

Tasmeem - Bahagian 2

"Typeset" atau aturhuruf adalah merupakan istilah yang digunakan apabila kita melakukan kerja-kerja penyusunan ayat atau perkataan dalam menghasilkan sesebuah naskah sama ada ianya dalam bentuk buku, majalah, akhbar dan seumpamanya. Menyusun huruf atau perkataan yang mengandungi tulisan Arabik memerlukan perisian khas agar layout yang hendak kita hasilkan memberi impak yang berkesan kepada pembaca.

Untuk catatan kali ini, aku akan cuba berikan beberapa lagi contoh variasi kaligrafi tulisan Arab menggunakan perisian Tasmeem. Sebelum tu, ingin aku tegaskan di sini bahawa aku ni bukanlah pandai sangat dalam penulisan dan kaligrafi Arab. Aku cuma tulis dan terangkan apa yang aku tahu dan faham, walaupun sedikit tapi apa yang penting, aku nak kongsi sedikit ilmu yang tuhan hadiahkan kepada aku.

Oleh yang demikian, aku mohon diperbetulkan sekiranya terdapat kesilapan atau kesalahan dalam artikel aku ni agar sama-sama dapat kita memperluaskan lagi ilmu Allah ini.

FONT dan HURUF

Terdapat beberapa font yang digunakan apabila ianya melibatkan penyusunan petikan ayat Al-Qur'an atau Hadith. Aku biasanya menggunakan 4 jenis font: Scheherazade, Lateef, Naskh dan Emiri. Font Scheherazade dan Lateef boleh diperolehi secara percuma (klik di sini) manakala Naskh dan Emiri hanya boleh digunakan sekiranya anda mempunyai perisian Tasmeem.

Scheherazade dan Lateef digunakan untuk menyusun atur perkataan yang menggunakan huruf Jawi. Ini adalah kerana kedua-dua huruf berkenaan mengandungi huruf-huruf tambahan dalam sistem ejaan Jawi. Perhatikan kombinasi dua font yang aku gunakan dibawah ini. Petikan Surah Al-Ikhlas berserta dengan terjemahannya:


Font Naskh digunakan untuk petikan Surah Al-Ikhlas manakala Scheherazade pula digunakan untuk terjemahan ayat. (Klik imej berkenaan untuk paparan lebih besar).

Contoh di atas pula adalah paparan petikan surah yang sama tetapi menggunakan jenis font konvensional atau jenis font yang biasa digunakan dalam mana-mana buku agama lain. Terjemahan pula aku gunakan font Lateef, ianya agak tebal atau bold. (Klik imej berkenaan untuk paparan lebih besar). 

VARIASI KALIGRAFI



Yang sebenarnya terdapat 14 variasi kaligrafi dalam nama Muhammad. Untuk variasi ini, penekanan diberi pada cantuman huruf Meem.

Untuk mendapatkan variasi kaligrafi perkataan yang cantik dan menarik, font Naskh merupakan pilihan yang terbaik. Ini adalah kerana teknik kaligrafi dapat digunakan dengan lebih meluas apabila menggunakan font berkenaan. Bagi memudahkan, aku paparkan contoh variasi kaligrafi yang terdapat pada nama seseorang. Di sini aku pilih beberapa nama sebagai contoh.




Ini pula adalah dua variasi kaligrafi yang terdapat dalam nama Rosli Saffar. Penekanan diberi kepada cantuman huruf Ya dan Ra.

 Tiga variasi kaligrafi yang terdapat dalam nama Rosmah Saffar. Penekanan cantuman huruf pula adalah pada huruf Ra, Sin dan Meem.

 Contoh variasi yang terdapat pada nama aku, Zainal Saffar. Penekanan diberikan kepada huruf Zai, Nun dan Ra.

Bersambung ......



Reblog this post [with Zemanta]

Tasmeem - Bahagian 1


Page of a 13th century Qur’an, showing Sura 33: 73

Ketika mula-mula belajar tentang seni reka grafik dahulu aku tidak terlalu didedahkan dengan kombinasi unsur-unsur Islamik atau Arabik dalam rekaan aku. Entah kenapa, ketika aku belajar dahulu aku tidak berminat langsung untuk mengetengahkan elemen-elemen tersebut. Mungkin disebabkan silibus pembelajaran waktu itu terlalu memfokas kepada hasil-hasil seni Barat. Kami diajar agar merujuk kepada zaman-zaman perkembangan sejarah seni klasik seperti Zaman Renaissance, Mannerisme , Baroque dan lain-lain.

Setelah melangkah ke alam pekerjaan, aku dapati rekaan-rekaan yang terlalu kebaratan atau terlalu moden tanpa menyelitkan unsur-unsur keMelayuan, keIslaman dan keArabikan kurang mendapat sambutan. Seni reka yang terlalu "ke sana" bukan sahaja sukar untuk difahami malah aku dapati kebanyakkan dari masyarakat kita akan berasa pelik setiap kali aku masukkan unsur-unsur berkenaan (unsur sejarah seni klasik barat) dalam rekaan aku. Mungkin disebabkan kebanyakkan dari client tempat aku berkerja, corak pemikiran mereka tidak menjangkau ke zaman sejarah klasik barat tersebut. Ini bukanlah satu masalah dan bukan pula sesuatu yang pelik sebab ini adalah gaya pemikiran masyarakat kita -- orang Melayu khususnya.

Memandangkan skop pekerjaan aku adalah lebih kepada "Publishing ", maka kebanyakkan dari kerja-kerja rekaan aku adalah lebih tertumpu kepada dua aspek penting iaitu rekaan kulit buku dan layout isikandung buku. Pada awal tahun ini, pihak syarikat aku telah berjaya memperolehi satu lagi pelanggan baru, sebuah syarikat penerbitan buku yang mana kesemua buku terbitan syarikat berkenaan adalah berunsurkan buku-buku agama.

Pada awalnya, aku berhadapan dengan kesulitan untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan dalam rekaan. Manuskrip digital atau softcopy yang aku perolehi dari mereka mempunyai berpuluh-puluh petikan ayat Al-Qur'an dan Hadith. Masalah besar aku adalah bagaimana untuk menyusun semula petikan ayat-ayat berkenaan yang dalam bahasa dan tulisan Arab supaya ianya menjadi lebih menarik dan berbeza dari buku-buku agama terbitan syarikat lain.

Nasib baik sekarang ini zaman teknologi. Semua maklumat boleh kita perolehi di hujung jari sahaja. Apa yang penting kita perlu tahu keyword dalam setiap pencarian kita. Tidak perlu lagi berbelanja lebih untuk membeli buku-buku rujukan. Jimat sungguh!!

Pencarian melalui internet telah memperkenalkan aku dengan satu perisian yang dikenali sebagai Tasmeem. Ianya adalah merupakan perisian tambahan kepada perisian induknya, Adobe Indesign Middle Eastern Version. Perisian berkenaan dibangunkan oleh WinSoft, sebuah syarikat perisian Perancis. Apa yang menarik tentang perisian ini adalah ianya direkacipta dan dibangunkan oleh orang bukan Islam tetapi mempunyai minat dan keasyikan dalam seni tulisan atau seni kaligrafi Arab.

Dengan menggunakan perisian ini, aku mampu menyusun dan memilih pelbagai variasi teknik kaligrafi Arab mengikut citarasa yang aku kehendaki. Amat menakjubkan, hasilnya setiap petikan ayat Al-Qur'an mampu disusun dengan mudah seolah-olah ianya dilakukan oleh kaligrafer pakar. Perhatikan imej di bawah dan perbandingannya:

Untuk makluman, aturhuruf di atas adalah menggunakan typeface Arabic konvensional. Jenis huruf atau susunan yang biasa kita lihat dalam buku-buku agama yang sedia ada.
 Petikan ayat yang sama tetapi menggunakan perisian khas, Tasmeem. Susunan ayat lebih menarik dengan variasi kaligrafi yang tampak lebih professional dan asli.

Bersambung .....

Reblog this post [with Zemanta]

Hari Pertama Berpuasa



Salam Ramadan,

Untuk bulan yang penuh dengan keberkatan ini, aku rasa belum terlambat untuk aku mengucapkan kepada korang semua, "Syahru Ramadhan". Semuga di bulan yang serba-serbi dimuliakan oleh Allah SWT ini kita mengambil peluang untuk berusaha memperbaiki diri kita supaya menjadi bukan sahaja hamba yang dirahmati malah menjadi orang yang disenangi oleh masyarakat di sekeliling kita.

Hari ni tak banyak aktiviti yang aku buat. Hari pertama berpuasa, otak masih terpinga-pinga untuk mengadjust minda dan jasad bahawa hari ini adalah bulan puasa dan banyak perkara yang kita tak boleh buat untuk menjaga mutu puasa kita. Ah! Aku ni cuma pandai berkata-kata. Aku rasa puasa aku untuk hari yang pertama ni dah tercalar! Sebabnya, aku bantai tidur hampir separuh hari berpuasa. Bukan tidur kat rumah, tapi tidur kat opis ... atas sofa empuk. Itupun aku dikejutkan oleh En. Izham, boss aku sebab dia dah nak balik. Boss yang paling sporting dalam dunia. Moga Allah memberkati dia sekeluarga.

==================

Sebelum balik ke rumah, aku singgah kat Pasar Keramat. Tengok orang sedang rancak berjualan juadah berbuka puasa. Pusing punya pusing, tak ada satu pun yang berjaya menarik selera makan aku. Mungkin sebab terlalu ramai orang, aku jadi pening. Selepas ambik beberapa gambar kat situ aku pun angkat kaki menuju ke destinasi seterusnya. Bazar Ramadan yang berhampiran dengan rumah aku.
==================

Haaa ... ni lah dia wajah Kak Faridah. Peniaga makanan yang aku kenal sejak sekian lamanya. Tiap-tiap bulan Ramadan dia akan berniaga kat Bazar Ramadan berhampiran rumah aku. Masakan dia memang terampil. Kakak ni ada keturunan mamak sikit, so dia punya masakan memang hot and spicy sesuai dengan tekak aku. Dia punya masakan kegemaran aku adalah Pecal dan Rendang Kerang . Tapi ari ni kedua-dua masakan tu tak ada, dia cakap minggu depan baru buat. Erghh! Kempunan aku, tapi tak apa. Minggu depan aku akan usha lagi.

Jam kat tangan aku menunjukkan sudah hampir waktu untuk berbuka. Kena balik cepat sebab nanti mak aku bising lambat sangat. Selamat berpuasa dan berbuka puasa.
Wassalam.

Blogger Muda

Writing.gif
Teringat lagi masa aku masih di alam persekolahan. Aku memang suka sangat membaca. Macam-macam bahan bacaan yang aku baca, dari komik hinggalah ke novel. Kalau aku membaca, aku sangat tekun, leka dan asyik -- walaupun tidak setekun dan seasyik aku membaca buku-buku pelajaran :)). Masa aku di sekolah menengah dulu, aku suka singgah kat mana-mana kedai mamak dan tumpang baca di situ. Dulu mana ada cukup duit untuk beli bahan bacaan sampingan.

Habis sekolah menengah, aku tak sambung belajar sebab dah tak minat dan lagipun keputusan peperiksaan tak berapa bagus. Mungkin sebab banyak sangat baca komik ... huaghh! Kebetulan, salah seorang abang aku ada perniagaan baju terpakai di Puduraya maka aku bekerja dengannya untuk beberapa lama.

Di Puduraya, kedai abang aku pulak berhadapan dengan "toko buku" -- gedung buku yang besar. Macam-macam bahan bacaan ada kat situ. Apa lagi, akupun berkenal-kenalan dengan jurujual kat situ sehinggalah mereka menjadi kamcing dengan aku. Dapatlah aku baca buku secara free. Untungnya!! Masa tu, aku rasa mewah giler dengan bahan bacaan.

Dari situlah aku bercita-cita nak jadi seorang penulis, setelah aku baca berpuluh-puluh novel dan di antara novelis kesukaan aku adalah Khatijah Hashim. Tapi, biasalah hangat-hangat tahi ayam. Aku mula merasakan menulis novel ni susah betul la. Nak kena pandai tata bahasa dan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi kalau tak nanti orang akan gelakkan kita. Kalau setakat tulis benda yang senang-senang dan ringan-ringan tu bolehlah.

Macam nak memblog ni, kadang-kadang berjam-jam aku nak carik idea nak menulis. Aku teringin juga nak menulis sesuatu yang berilmiah tapi ... he he ... aku pun kurang ilmiah yang nak dikongsi dengan korang. Tengoklah, mungkin lama sikit nanti kalau aku dah ada banyak pengalaman dan pengamatan aku akan kongsi dengan korang semua. Itupun kalau dipanjangkan umur.

Beberapa hari yang lepas, aku surf internet dan aku terjumpa satu web site nih --- blogger. Dia punya blog ni lebih kepada politik. Haaaa ... politik pun aku suka ambik tau jugak tau. Dalam website dia ni macam-macam isu semasa yang dia ulas. Pandai sungguh. Mesti banyak bahan bacaan yang dia dah tela'ah. Aku suka betul melayari blog ni.

Untuk makluman, blogger tersebut tersangatlah mudanya -- jauh muda dari aku .. berpuluh-puluh batu jauhnya. Umur blogger ni baaaaaru 16 tahun!! Serious ni ... kalau korang tak percaya korang klik link ni -- Di Ambang Sore.

Itu jer lah yang aku nak kongsi cerita hari ni. Selamat berpuasa dan wassalam.

Senah

Hujan turun agak lebat di kawasan rumah aku. Pasti tuhan mendengar keluhan aku sebab pada sebelah malamnya cuaca panas betul.

Seperti biasa, aku bersiap-siap untuk pergi ke pejabat. Tiba-tiba aku terdengar jeritan kakak aku, "Naaaaaal! Senah dah mati! Dia terbaring kat luar tu!". Kelam-kabut aku dibuatnya.

Fikiran aku mula berserabut, macam tak percaya. Aku jengah ke luar. "Astaghfirullah!". Bergegas aku ke luar untuk menidakkan apa yang aku nampak tadi. Sayu rasanya apabila melihat tubuh Senah terkulai dan terbujur kaku kat tepi jalanraya di hadapan rumah aku. Baru semalam aku bermain-main dgn dia. Apalah agaknya yang menyebabkan Senah terbaring kaku di situ, motor atau kereta?
Gambar tengah, kesan tompokan darah. Gambar kanan, tempat mayat Senah ditemui.

Aku membelek-belek keadaan tubuh Senah. Darah keluar dari mulutnya. Nampak basah, mungkin disebabkan oleh air hujan. Aku perhatikan jalanraya pun masih nampak kesan lembab hujan. Sedih dan terkilan.

Aku dan keluarga aku bela dan jaga Senah sejak dia dilahirkan lagi. Telah ditakdirkan, dia dicipta tidak seperti makhluk yang lain. Senah cacat penglihatan, dia buta sejak kecil. Seperti baru semalam aku mandikan Senah, bersihkan kedua-dua belah matanya. Beri dia makan ubat sekiranya aku dapati Senah demam walaupun pada hakikatnya Senah hanyalah seekor kucing.

Walau hanya seekor kucing, kami telah menganggapnya sebahagian dari kami dan kehilangannya amat dirasai.

Raven

Salamu'alaikum,
Berjumpa lagi. Kali ini aku ingin berkongsi dengan korang semua tentang penemuan terbaru aku. Seperti biasa, aku surf internet untuk mencari maklumat-maklumat dan bahan-bahan terbaru untuk kerja harian aku. Sebagai seorang graphic designer, tentu aku kena pastikan bahawa aku tidak ketinggalan dengan pelbagai perisian (walaupun tidak semua) yang terbaru.

Surf punya surf, maka aku ditakdirkan oleh Allah terjumpa dengan satu software ni. Mainly untuk bloggers. Software ni kita tak payah beli sebab Allah telah menganugerahkan idea pada orang yang cipta softaware supaya kita boleh gunakan tanpa apa-apa bayaran. Senang betul menggunakan software ni. Macam kita menaip menggunakan Microsoft Word. Untuk pengetahuan, aku menulis artikel ini pun menggunakan software berkenaan, tak perlu lagi nak sign in dalam kita punya blog. Tulis - Save - Publish.

Kalau korang berminat, klik gambar di bawah ni dan korang boleh terus download.

ravenLogo.gif
Selamat Mencuba.
Zainal Saffar

Exhibition


Hari ni aku dgn Boss aku, Encik Izham pergi mengunjungi satu pameran yang diadakan di PWTC Kuala Lumpur. Mula2 aku pergi melawat satu pameran mengenai dunia perniagaan percetakan digital dan offset.
Tak ada apa2 yang menarik perhatian aku dlm pameran tu. Bahan2 pameran sama seperti tahun2 yang sebelumnya. Kalau ada pun yang boleh dianggap menarik adalah amoi-amoi yang ditugaskan utk mengedarkan flyer.

Bosan dgn bahan2 pameran tersebut, kami berjalan keluar menuju ke satu lagi ruang pameran di tempat yang sama. Kali ini hampir kesemua peniaga yg terlibat adalah orang Melayu.
Ada satu booth yg benar2 menarik perhatian aku. Terpapar perkataan PERMATA HIJRAH. MasyaAllah, punya la ramai manusia. Aku dengan Encik Izham singgah untuk meninjau apa yang ramai sangat kat booth berkenaan.

Patutlah, booth berkenaan menawarkan khidmat rawatan percuma. Biasa la, strategik perniagaan. Khidmat rawatan yg disediakan adalah khusus untuk mata dan resdung. Kebetulan aku dengan boss aku ni dua-dua ada masalah mata ... Rabun.

Sambil membelek2 produk yang dijual, mata aku berlegar-legar memerhatikan gelagat org2 di situ. Wajah penuh dgn harapan. Begitulah tafsiran aku. Setelah aku belek2, tangan aku mencapai salah satu produk di situ, "ALKALINE THERAPY Pearl Extract V".

Aku difahamkan produk berkenaan amat sesuai dgn mereka yg mempunyai masalah rabun jauh dgn power kacamata 200 ke atas. Minat aku terhadap produk tersebut semakin mendalam. Ah! Pejam matalah. Aku beli dgn harga yang agak murah dari harga biasa, RM25.00 sekotak.

Mata aku mula mencari-cari kelibat boss aku. Rupa-rupanya dia sedang menerima rawatan mata percuma. Selepas agak lama menunggu, kami pun berangkat pulang.

Dalam kereta aku mengambil kesempatan mencuba produk yang aku beli. Ubat titik rupanya. Beberapa saat kemudian aku dapat merasakan perubahannya. Mata aku terasa segar dan penglihatan aku terang sedikit dari sebelumnya. Tak tau la, aku rasa ubat ni agak berkesan. Aku tak boleh ler nak cerita lebih-lebih kalau korang nak tau kena cuba sendiri.

Semoga berjumpa di nukilan yang akan datang.

Zainal Saffar
--------------------------------------
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Rosak lagi

Semalam satu ari aku tak boleh nak buat kerja. Ini semua gara2 aku nak install satu software ni. Software tu boleh convert flv to avi. Aku nak cuba pakai ler kononnya. Nak convert satu clip ni, paparan seorang pemuda cina yang dipukul oleh sekumpulan lelaki melayu dalam satu sessi soal siasat.

Hampir lunyai gak ler pemuda cina tu. Video ni dah tersebar luas kat internet. Install punya install habis komputer aku kena virus. Kena format. Arghhh! Menyesal aku install software tu. Walau camanapun aku tak menyesal sebab berusaha nak convert clip tu.

At least, aku berusaha utk convert sesuatu dgn tujuan untuk sebarkan pada org lain. Kat negara kita ni sessi soal siasat taklah macam yg dipaparkan dlm cerita Gerak Khas yg dikeluarkan oleh Yusof Haslam tu.

Teringat aku arwah anak buah aku yang meninggal dunia gara2 dipukul oleh polis pada tahun lepas. Al fatihah untuk Allahyarham Mohd Shaifuldin Bin Ruslan.


Zainal Saffar
--------------------------------------
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Percubaan Pertama

Salamu'alaikum,

Ini adalah percubaan untuk mengetes dan merupakan pertama kali aku nak berjinak2 untuk blogging. Kalau ada apa2 yang terkurang korang tolong lah bagi tau aku supaya aku dapat memperbaikinya.

Wassalam
Zainal Saffar
--------------------------------------
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.