twitter
    Or view on the sidebar for updates

Sakit Macam Digigit Semut

Tentu kita masih ingat lagi perkataan ini, "Sakit macam digigit semut", ianya seringkali diucapkan kepada sesiapa sahaja --- tidak kira umur dan pangkat. Biasanya ia diucapkan sebagai Tangkal Kata atau Ucapan Hikmat atau Mentera Singkat untuk menyedapkan hati. Bagi aku, perkataan ini pertama kali aku dengar sewaktu aku hendak disunatkan, kebanyakan orang pun akan "dimenterakan" dengan perkataan ini ketika berhadapan dengan situasi begitu.

Bila difikir-fikirkan rasa nak tergelak pun ada, ketika itu kita akan menelan dan percaya apa juga diperkatakan oleh orang di sekeliling kita. Tangkal Kata ini seolah-olah diberikan peranan untuk menyamakan kesakitan yang bakal dihadapi tidaklah sesakit mana, macam kena gigit semut yang sakitnya hanya seketika. Namun, apabila tiba saatnya kita berhadapan atau merasai kesakitan itu maka barulah kita sedar bahawa kesakitan tersebut tidak sama langsung dengan sakit digigit semut. Sakitnya bukan kepalang. Sakitnya tidak mampu untuk digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana rasanya kesakitan itu kerana dia yang mencipta perasaan tersebut.

Dua tahun lepas aku ditimpa kemalangan ketika menaiki motor, bergesel dengan kereta. Kaki aku tersepit dihempap motor yang beratnya na’uzubillah. Waktu itu aku pakai motor Jaguh yang aku rasa semua orang tahu dia punya berat. Tak cukup dengan itu, kaki aku dicucuk dengan clutch paddle, koyak kasut yang aku pakai ketika itu ditembusi paddle tersebut. Kesakitan yang aku alami ketika itu kalau nak “digandakan” dengan kesakitan ketika bersunat, aku rasa sepuluh kali ganda.

Aku dibawa ke hospital sejurus kemudian. Di sana aku diberi lagi pengalaman menghayati kesakitan oleh tuhan. Insiden kemalangan dihempap dan dicucuk oleh paddle tadi menyebabkan luka yang terhasil perlu dijahit. Ubat bius ketika itu tidak ubah seperti bisikan dan ucapan Mentera Singkat – “Sakit macam digigit semut”. Jarum yang menembusi kulit dan isi ketika dijahit mengakibat kesakitan yang tidak terperi. Menggeliat aku ketika itu menahannya. Lebih sakit dari disunat, lebih sakit dari dihempap dan lebih sakit dari dicucuk paddle. Entah berapa kali ganda kesakitan, cuak rasanya untuk aku bermatematik.

Pada hari Khamis lepas, aku menyaksikan satu lagi episod kesakitan. Kali ini ianya dialami oleh kakak aku sendiri. Aku menerima SMS dari anak buah aku (anak kepada kakak aku tadi). SMS tersebut ditulis begini:
Chik Enal tolong bagi tau nenek ibu sakit :(
Ringkas, tapi cukup merisaukan aku sebab sebelum ini aku tidak pernah menerima SMS sebegini dari anak buah aku. Untuk mendapatkan kepastian, aku hubungi telefon bimbit kakak aku, panggilan aku dijawab oleh anak buah aku tadi. Sewaktu bersoal jawab dengannya aku dapat dengar dengan jelas suara tangisan sakit dan aku pasti itu adalah suara kakak aku. "Cakap dengan ibu, kejap lagi Chik Enal sampai". Setelah mendapat keizinan dari boss (semoga Allah beri rahmat kepada dia sekeluarga) aku bergegas ke rumah kakak aku yang terletak di Taman Keramat, jarak yang agak jauh dari tempat kerja aku.

Sampai di sana, aku dapati kakak aku duduk tersandar, airmatanya berlinangan menahan kesakitan. Duduk di sebelahnya adalah adik bongsu aku. Kelihatan dia sedang mengusap-usap tangan kakak aku sambil mengucapkan kata-kata berkaitan dengan kesabaran sewaktu menghadapi kesakitan. Kami berdua (adik bongsu aku) sama-sama mempunyai pengalaman berhadapan dengan kesakitan. Dia juga pernah ditimpa kemalangan yang mengakibatkan tulang selangkanya patah dan terpaksa disambung dengan besi. Kami adalah di antara manusia di mukabumi ini yang amat mengerti tentang sakit. Kami tahu dan sangat memahami kesakitan yang ditanggung sesiapa sahaja. Walaupun sakitnya berbeza tetapi pengalaman berhadapan dengan kesakitan itu tetap sama.

Peristiwa-peristiwa ini telah memberi pengajaran kepada aku. Pada aku, ada dua perkara yang sangat diperlukan ketika kita berhadapan dengan kesakitan, kehadiran orang yang kita sayangi dan sentuhan dari mereka. Kehadiran dan sentuhan ini adalah sebenarnya yang benar-benar melegakan kesakitan tatkala segala macam ubat moden ketika itu berada jauh dari kita. Tentu sahaja kita mengharapkan belas kasihan dan limpahan rahmat dari Allah S.W.T --- bukanlah Tangkal Kata atau Ucapan Hikmat atau Mentera Singkat. Wallahu 'Alam.

0 ulasan: